Wednesday, May 14, 2008


SABAR ASAS KEJAYAAN


Al-Quran menyebutkan perkataan sabar lebih 90 kali. Ini membuktikan sabar itu diambil berat oleh Allah. Sabda Rasulullah s.a.w bermaksud:
Sabar adalah sebahagian dari iman, seperti kepala adalah sebahagian dari jasad.
Sabar adalah satu sifat yang terpuji yang berguna kepada seseorang. Dengan sabar membolehkan seseorang itu terselamat dari putus asa, tidak melakukan sesuatu tindakbalas kepada seseorang lain dengan sewenang-wenangnya. Bersabar menjadikan seseorang itu muslim yang baik. Sabar telah menjadi satu asas kejayaan.
Seseorang pelajar pada masa kini, menempuh cabaran yang berat, beban kewangan dan pelajaran semakin bertambah. Bersabar sangat-sangat diperlukan untuk mencapai kejayaan. Pepatah Arab menyatakan:
Sesiapa yang berusaha atas sesuatu akan tercapai maksudnya.
Ini membuktikan sesiapa yang tekun dan bersabar dalam sesuatu perkara atau pekerjaan dan terus mara mengikut jalan yang di tentukan, lambat laun akan berhasil dan sampai kepada matlamatnya.
Ketekunan dan kesabaran menghadapi dugaan pelajaran bermula dari peringkat rendah, menengah hingga ke menara gading. Sebagai seorang pelajar yang mahu terus berjaya sayugia menjadikan sabar itu sebagai lampu suluh dalam pegangan hidup. Dengan itu kita akan berjaya dan tanamlah sifat ingin belajar disamping selalu mentaati perintah Allah dan menjauhi perkara-perkara yang dilarang. InsyaAllah kita akan berjaya.
Sabar terdapat dalam 3 keadaan





1. Sabar dalam mentaati Allah. Untuk menjalani perintah Allah dan mengerjakan suruhanNya, seseorang muslim perlulah bersabar. Tanpa bersabar, suruhan dan perintahNya tidak dapat dilakukan dengan baik oleh seseorang kerana tanpa sabar mereka akan melanggar perintah Allah, apabila perintah itu dianggap sebagai sesuatu yang membebankan.
2. Sabar dalam meninggalkan maksiat. Dalam menjalani sebuah kehidupan, sudah tentu kita ingin melakukan sesuatu perkara yang didorong oleh nafsu kerana manusia mempunyai nafsu syahwat yang ingin melakukan maksiat dan kemungkaran serta melanggar hukum-hukum dan perintah Allah. Oleh tiu, manusia muslim harus bersabar dalam menahan keinginan nafsunya dari melakukan amalan dilarang.
3. Sabar dalam menempuh ujian. Manusia tidak dapat lari dari menempuh pelbagai dugaan, bencana, bala, kesusahan dan seribu macam ranjau duri serta kepahitan hidup. Untuk menghadapi keadaan itu, muslim mestilah bersabar dan tidak berputus asa kerana ia satu sifat yang tercela. Perlu diingat, semua itu adalah yang telah ditetapkan oleh Allah





No comments: